Sunday, August 28, 2011

Cloth - Diapers - Holic

Bismillahiwalhamdulillah...






Dua tiga hari ini bila saya layari dengan menaip CLTOH DIAPERS di enjin pencarian (GooGle)...He2.

Sibuk saya membuat penyelidikan tentang Cloth diapers ini.

Serasa saya saya sudah kenal tentang Cloth Diapers ini sejak Kak Kinah perkenalkan saya dengan majalah PA & MA pada tahun lepas yakni sebelum berangkat ke Mesir. Cuma ketika itu saya tidak begitu mengambil berat tentang perkara ini.


Dari apa itu Cloth Diapers,aksesorinya, cara pakainya dan everything tentang Cloth Diapers.
Saya rasa kalau nak suruh saya pratis pakaikan bayi dengan lampin moden ini pun saya dah boleh. (^_^)

Seronok sungguh membaca pengalaman-pengalaman mereka yang telah menggunakan cloth diapers. Di samping saya ada bertanya pada sahabat-sahabat terdekat yang juga telah menggunakan cloth Diapers ini.

Tak sedikit yang menegur "Awalnya cari pasal cloth diaper ini?"

Saya tersenyum.


Andai kita boleh memberikan yang terbaik buat anak-anak kenapa tidak kita berikan?

Saya pernah baca sebuah artikel sebelum ini yang mengur sikap sebahagian pasangan yang hanya mencari maklumat tentang baby dan perkara2 seangkatan dengannya ketika isteri telah disahkan hamil.

Mungkin bagi ibu-ibu yang tidak berkerja yakni para suri rumah perkara ini tidak menjadi masalah. Namun bagi wanita-wanita yang telah berkerja mungkin masa yang dapat diperuntukkan untuk menambah ilmu tentang ahli keluarga baru mereka ini tidak banyak.

Saya sekadar menambah ilmu berhubung dengan cloth diapers ini.Sementara saya masih berada di Malaysia. boleh juga membuat pilihan dengan berkunjung ke kedai-kedai yang ada menjual cloth diapers ini. Nanti kalau sudah pulang ek Mesir susah pula hendak membuat pembelian dan sebagainya.

Rasanya tidak rugi apa2 mengambil tahu awal2 bahkan mungkin memudahkan saya pada masa akan datang. Belajar tentang Cloth Diapers ini juga adalah ilmu.

Sementara masih belum kembali sibuk bergelumang dengan buku Anatomy, Pyhsiology, Biochemistry dan Histology + Phycology di tahun 2 nanti, saya sibukkan diri membuat persiapan menyiapkan diri sebagai seorang ibu (walaupuntak tahu bila Allah akan membrikan rezeki anak untuk saya).

Dahulu, saya pun tak pernah tahu bila akan berkahwin namun persediaan itu terus dibuat sampai saat dan ketikanya tiba.


Kesimpulan dari jalan-jalan saya di laman sesawang rasa macam nak guna cloth diapers ini tetapi mungkin bukan sebagai fulltimer.

Berkira-kira juga nak bawa sedikit stok Cloth Diapers sepulang ke Mesir nanti..hihi..tapi perlu dibincangkan lagi dengan bakal suami dulu... ^_^

Saturday, August 27, 2011

Wajah Baru

Bismillahiwalhamdulillah..

Pada mulanya ibu bercadang untuk menukar blog utama kepada DIARI UMMU SOLIHIN. Namun ibu rasa macam malu pula. Tambahan ibu hendak menggunakan kata ganti diri 'ibu' sewaktu menulis.

Hmm..yang membuatkan ibu tergerak untuk menulis diari kecil ini adalah untuk berkongsi dengan pembaca di samping menukar-nukar buah fikiran tentang didikan serta tarbiyyah untukanak-anak.

Ada seorang rakan ibu yang mempunyai seorang emak yang saya berdedikasi. Ibu suka dengar cerita-cerita mak cik ini tentang bagaimana dia mendidik anak-anak dia .Boleh dijadikan sebagai contoh teladan.

Sayang mak cik ini tidak pandai menulis. Jadi tiada rakaman yang dapat dibuat tentang cara dia mendidik anak-anak.

Jadi ruang yang ada ini ibu hendak catat tulisan pengalaman ibu sepanjang bergelar seorang isteri dan ibu kelak Insya-Allah andai direzekikan Allah. Semoga menedatangkan manfaat buat semua.

Ibu rasa cukup bertuah kerana Allah taala mengizinkan ibu untuk berkahwin semasa belajar bahkan menjadi mungkin juga menjadi seorang ibu semasa sedang menuntut ini.

Alhamdulillah...

Friday, May 6, 2011

Debaran Seorang Bakal Isteri


Bismillahirrahmanirrahim....

Alhamdulillah. Allah berikan saya kekuatan untuk kembali mengetip papan kekunci laptop untuk berkongsi dengan para pembaca.

Meniti hari mendatang sabar benar-benar berdebar-debar. Sudah tentu. Banyak benda yang membuatkan hati saya berdebar-debar.

Pertamanya, peperiksaan akhir tahun bakal bermula 11 Mei ini.

"Ya Allah kak macam mana nak hafal lukisan-lukisan Histo yang sedemikian banyak?" keluh seorang sahabat kepada saya.

"Uhuh, takutnya! Exam tinggal beberapa hari saja lagi!" luah sahabat sebilik saya.

Saya menyambut setiap bait bicara sahabat-sahabat ini dengan dengan senyuman dan wajah yang tenang.

Bagaimana dengan saya?

Saya juga berdebar-debar berhubung dengan peperiksaan ini. Namun perkara yang jauh lebih membuatkan saya berdebar-debar. Yakni menanti hari pernikahan.


Dahulu, saya sering berangan-angan untuk punya suami tanpa pernah berbicara dengannya. Tanpa pernah bersms, berYM mahupun berfacebook dengannya. Tanpa perlu berjumpa, bertemu dan berdating dengannya. Namun, saya tahu dia pemuda yang baik agamanya punya akhlak yang mulia. Saya idamkan hubungan kami berdua sebelum bernikah hanya diatur dan diuruskan oleh orang tengah.

Hmm...

Ketika menapak di bumi anbiya' saya teruja untuk menadah telinga di kuliah-kuliah syeikh mesir. Namun, kemudahan itu tidak saya perolehi kerana tercampak di Zagazig. Tambahan pula, akhawat di bumi Mesir ini tidak begitu selamat untuk ke sana dan ke mari tanpa teman.

Terasa benar mahu memiliki seorang suami yang berkongsi kecintaan yang sama yakni kecintaan terhadapa ilmu dan majlis ilmu.

Hmm..

Saya kira itu semua hanya khayalan yang tidak mungkin akan menjadi kenyataan.

Namun, takdir Allah menentukan sebaliknya.

Melalui perantaraan bapa calon suami saya, kami dijodohkan. Tanpa pernah kami berjumpa, tanpa pernah tanpa pernah berbicara dengannya. Tanpa pernah bersms, berYM mahupun berfacebook dengannya. Tanpa perlu berjumpa, bertemu dan berdating dengannya. Subhanallah! Terasa seperti bermimpi!.

Menurut bapanya, dia pencandu ilmu dan majlis ilmu.

"Anak saya juga belajar di Mesir. Ambil Usuluddin. Sudah setahun dia di sana. Dia pergi lewat sikit sebab dia kumpul duit dulu sebelum ke sana,"

"Tahun ini dia tak balik. Saya yang tak bagi balik. Jadi dia pergi bertalaqqi dan buat umrah. Sekarang dia masih di Madinah,"

"Anak saya ini memang sangat cintakan ilmu. merata dia pergi belajar. Di pernah belajar di Patani yakni di Jamiat Islamiah Syeikh Daud Al-Fathoni. Kemudian dia belajar Bahasa Arab dengan seorang Ustaz Shaari. Selepas itu dia ambil STAM. Dia dapat jaid jiddan,"

"Dalam tempoh belajar di Malaysia dulu, dia mengajar juga hujung minggu. Mengajar Bahasa Arab. Pendapatan dia itu, dia simpan sikit-sikit. dengan duit mengajar dan menjual kuih itulah dia pernah ke Mesir. Alhamdulillah, rezeki dia murah. Ada orang yang bermurah hati juga memberi dia sumbangan zakat,"

"Saya tak keluar satu sen pun untuk hantar belajar di Mesir. Dia lahir tahun 1984."

"Di Mesir dia jual nasi lemak untuk sara hidup di sana. Pendapatannya pun alhamdulillah,"

Ya Allah, saya benar-benar kagum. Dalam pada masa yang sama saya malu. Teringat Kang Azam dalam cerita Ketika Cinta Bertasbih.

Subhanallah!

terasa diri saya kerdil. Terasa diri saya serba kekurangan berbanding dia.

Terus terang saya akui saya bimbang. Mampukah saya menjadi isteri terbaik buatnya? kegusaran ini sedikit sebanyak mengusik jiwa saya dalam fatrah peperiksaan bakal menjelang. Semoga Allah berikan saya kekuatan.

Saya berdebar-debar. Menanti hari kami disatukan.

Ya Allah...permudahkan urusan pernikahanku dan dia...


Monday, September 13, 2010

Sebelum Berkalang Tanah : BAB 1, part II

Bismillahirahmanirrahim...

Pejabat itu asalnya sebuah surau. Surau yang tidak pernah dihidupkan dengan solat berjemaah. Tidak pernah bergema dari corong pembesar suaranya laungan azan oleh bilal memanggil kaum muslimin sujud pada Allah, tuhan sekalian alam. Tidak pernah diimarahkan dengan bacaan suci al-Quran. Walhal penduduk di sekelilingnya tidak sedikit yang beragama Islam.
“Alhamdulillah, hari ini kita semua dapat berkumpul di pejabat yang kita gelar sebagai Serambi Dakwah. Selamat datang saya ucapkan kepada semua. Saya perkenalkan diri saya terlwbih dahulu. Saya, Saiful Afandi, koordinator AMANI, ” pemuda tinggi renjong yang memperkenalkan namanya sebagai Saiful Afandi itu memberi ucapan alu-aluan. Dia mengelus setiap wajah yang hadir dengan pandangan mata bersinar-sinar. Mereka duduk bersila dalam satu bulatan besar di atas karpet hijau.
“Dahulu, surau ini menjadi tempat seorang pak cik beragama Buddha meletakkan barang-barang sembahyangnya. Amat menyedihkan. Dia kemudiannya memindahkan barang-barang tersebut setelah kita maklumkan kepada dia yang kita mahu menggunakan tempat ini sebagai pejabat.” Saiful Afandi memulakan bicara dengan sedikit sejarah pejabat berkenaan.
Farhana menyinggul Basyirah dengan siku sambil senyum meleret.
“Boleh tahan juga coordinator AMANI ini,” bisik Farhana. Basyirah dan Farhana duduk paling hampir dengan Saiful Afandi.
“Ish, kau ini! Budak lagi ini! Kau mahukah?” balas Basyirah mematikan usikan Farhana.
Mata Basyirah meliar di segenap ruang surau yang sudah bertukar wajah menjadi pejabat itu. Serba ringkas. Tidak seperti perjabat konvensional lain yang ada bilik, penghawa dingin dan kelengkapan mewah lain. Pejabat itu hanya memuatkan beberapa meja dan kerusi. Tempat untuk staff perempuan terletak di sayap kanan surau manakala tempat untuk staff lelaki di sayap kiri. Satu set sofa yang sudah luntur warna merah hatinya dengan sebuah meja kecil diletakkan berhampiran pintu menuju bilik air. Buku-buku tersusun tidak begitu teratur di rak yang ditempatkan di ruang solat imam.
“Baiklah. Saya tidak mahu berceloteh panjang. Kata orang tak kenal maka tak cinta. Moleklah kiranya kita berkenal-kenalan antara satu sama lain terlebih dahulu sebelum kita bergerakkerja sebagai satu pasukan kelak kerana saya percaya, perkenalan kita hari ini bukan tidak akan berkahir selepas sebulan kita di Selatan Thai bahkan akan berkekalan untuk beberapa jangka waktu lagi, Insya-Allah,” ujar Saiful Afandi.
“Saya perkenalkan diri saya terlebih dahulu. Nama saya Saiful Afandi bin Sulaiman. Berasal dari Rantau Panjang, Kelantan. Bertindak sebagai coordinator AMANI. Kini bertugas sebagai guru Matematik di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Onn.” Saiful Afandi mengunjukkan ibu jari kepada pemuda di sebelah kanannya.
“Saya Mohd Fauzi bin Fairuz. Berasal dari Grik, Perak. Kini berkerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat swasta.” Pemuda berkulit hitam manis itu menundukkan sedikit kepala sambil menyungging senyum.
“Saya Erwan bin Khairuddin. Berasal daripada Sungai Bakau, Pulau Pinang. Kini masih belajar di UITM Arau.”
“Saya Nur Basyirah Mohd Ridwan. Berasal dari Tanah Merah, Kelantan. Kini bertugas sebagai seorang doktor di Hospital Pantai, Kuala Lumpur.”
“Saya Nor Farhana Farhan. Berasal dari Tanah Merah, Kelantan. Kini bertugas sebagai seorang doktor di Hospital Pantai, Kuala Lumpur.”
“Saya Khalillah Rasyidah. Berasal dari Rawang, Selangor. Bertindak sebagai coordinator AMANI bersama-sama dengan Saiful. Kini masih menuntut di Universiti Sains Malaysia.”
“Suraya binti Suhaimi. Berasal dari Air Keruh, Melaka. Kini masih belum mempunyai pekerjaan tetap.”
“Alhamdulillah, semuanya sudah memperkenalkan diri. Sebenarnya, kita dapat senarai nama lebih daripada 10 orang pada mulanya. Namun, seorang demi seorang menarik diri sehinggalah tinggal kamu semua yang datang hari ini. Firman Allah dalam Surah At-Taubah ayat 42 yang bermaksud kalau apa yang engkau serukan kepada mereka wahai Muhammad sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana yakni tidak begitu jauh, nescaya mereka akan mengikutmu, tetapi tempat yang hendak dituju itu bagi mereka jauh. Makna katanya di sini, sepanjang perjalanan kita, tidak akan dibentangkan dengan karpet merah. Paling penting, di sepanjang jalan dakwah ini, tapisan Allah itu sentiasa berjalan. Maka dengan itu, akan yang gugur di tengah jalan dan akan ada yang terus gagah memacu perjuangan. Kalian ini, boleh saya klasifikasikan sebagai golongan yang telah lepas tapisan Allah yang pertama. Namun, jangan gembira dulu. Seperti yang saya katakana tadi, tapisan Allah itu sentiasa berjalan selagi mana kita tidak sampai kepada matlamat agung perjuangan,” jelas Saiful Afandi panjang lebar.
Basyirah mengangguk-anggukkan kepala. Farhana menekur lantai. Peserta-peserta lain memandang wajah Saiful Afandi tidak lepas-lepas. Menanti butir bicara anak muda itu.
“Baiklah, seterusnya, saya menjemput saudari Lillah membentangkan aturcara program sepanjang sebulan kalian di sana kelak,” ujar Saiful Afandi.
“Err… Saya rasa sebelum kita melangkah lebih jauh, baik juga kalau Encik Saiful dapat ceritakan serba ringkas mengenai AMANI ini,” pinta Fauzi. Mereka yang lain mengangguk-anggukkan kepala tanda setuju. Terutamanya Basyirah dan Farhana.
“ Oh, terlupa pula saya. AMANI sebenarnya adalah sebuah badan bertindak terhadap isu konflik Selatan Thailand yang digerakkan di bawah naungan Persatuan Ulama Malaysia Pulau Pinang dalam usaha menyalurkan bantuan serta sokongan padu kepada saudara-saudara kita di Selatan Thailand. AMANI mempunyai tiga objektif. Pertama, membangunkan kesedaran dan sokongan masyarakat terhadap konflik Selatan Thailand. Kedua, menyediakan program latihan dan pembangunan dokongan kerja kepada masyarakat Pattani. Ketiga, menyalurkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa-mangsa konflik. Krew AMANI ini tidak ramai. Setakat ini AMANI mempunyai sukarelawan tetap tidak melebihi 10 orang. Kita juga berkerjasama dengan beberapa NGO di Selatan Thailand. Misalnya untuk program kali ini, kita berhubung dengan satu badan yang dikenali sebagai HAP atau Hak Asasi Perikemanusiaan.” Saiful Afandi berhenti sejeda, meneguk air mineral yang dibekalkan seorang satu. Bunyi desiran kipas mengisi suasana hening ruang pejabat itu.
“Berbeza dengan nasib negeri lainnya seperti Bosnia, Kashmir, Chechnya atau Palestin yang tidak pernah sepi dari pemberitaan, Pattani ditakdirkan telah menjadi sebuah negeri yang dilupakan orang, sepi dan tidak naik panggung. Kezaliman dan penindasan yang dialami oleh rakyat Pattani seakan hilang daripada perhatian masyarakat dunia khususnya ummat Islam lainnya. Penderitaan dan kesengsaraan yang dialami oleh rakyat Pattani tidak pernah berhenti hingga ke saat ini. Kesan pergolakan ini telah menyebabkan tekanan perasaan dan gangguan psikologi terhadap penduduk awam Pattani. Perasaan tidak selamat dan kurang yakin untuk terus maju telah menguasai pemikiran mereka. Semangat untuk belajar mula luntur dalam diri mereka kesan pergolakan ini. Oleh sebab itu, kita sedaya upaya menganjurkan program ini dengan harapan sedikit sebanyak kita dapat membantu saudara –saudara kita di sana,” sambung Saiful Afandi. Dia kemudian mengalihkan pandangan ke arah Khalillah dan memberi isyarat mata agar gadis berkulit cerah itu menyambung bicara.
“Rasanya, sahabat-sahabat sekalian sudah jelas letak duduknya AMANI. Sekarang kita teliti dengan lebih mendalam lagi objektif-objektif program kita pada kali ini. Misi ziarah kami ke pondok-pondok terbesar di Selatan Thailand telah mengetemukan kami dengan beberapa mudir dan babaya pondok. Hasil perbincangan kami dengan mudir dan babaya pondok tersebut, mereka banyak menyatakan kebimbangan mereka terhadap penggunaan Bahasa Melayu yang semakin luntur dan penguasaan Bahasa Inggeris yang sangat lemah dalam kalangan pelajar pondok malah termasuk guru-guru sendiri akibat pengaruh Bahasa Thai yang tinggi dalam masyarakat Melayu di Pattani. Kebudayaan Melayu juga kian luntur daripada masyarakat Pattani. Oleh sebab itu, hasil perbincangan kami bersama pihak pondok tersebut untuk mengadakan satu bengkel untuk mengembalikan minat serta kesungguhan pelajar pondok ini untuk menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi mereka dan meningkatkan lagi penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi antarabangsa.” Khalillah berdehem beberapa kali sebelum menyambung.
“Objektif pertama program ini adalah membina kembali semangat menuntut ilmu serta meneruskan kehidupan dengan lebih cemerlang. Kedua, mengembalikan motivasi dan keyakinan dalam diri pelajar untuk memperbaiki taraf hidup serta kemajuan dalam masyarakat Muslim Pattani. Ketiga, membantu usaha memperkukuh serta memperjuangkan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama di Pattani serta penguasaan terhadap Bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi antarabangsa,” jelas Khalillah.
“Maafkan saya, boleh saya mencelah sedikit?” pinta Fauzi.
“Dipersilakan. Usah malu-malu,” balas Saiful Afandi.

“Begini, sekadar yang saya teliti daripada penjelasan saudari Khalillah tadi, kelihatan perjuangan di Selatan Thailand ini berbaur nasionalisme. Misalnya, usaha kita membantu mereka memulihkan bahasa dan budaya yang kian tenggelam dek pengaruh Siam. Seolah-olahnya, kita cuba menyelamatkan kemelayuan masyarakat di sana daripada terus hilang di telan zaman. Sepertinya kita cuba mempertahankan apa yang pernah dikatakan oleh Hang Tuah, takkan Melayu hilang dari dunia, begitu. Pada pendapat saya, perjuangan seperti ini tidak akan kekal lama bahkan tidak diperbolehkan dalam agama,” ulas Fauzi. Dia mengusap-usap janggut pandaknya.
“Boleh saya respon sedikit ulasan saudara Fauzi tadi?’ soal Farhana.
“Dengan senang hatinya dipersilakan,” izin Khalillah.
“Terima kasih. Sedikit penjelasan terhadap ulasan saudra Fauzi tadi. sebenarnya, rata-rata umat Islam hari ini melihat perjuangan di Selatan Thai lebih kepada menyelamatkan bangsa Melayu Pattani atas tiket nasionalisme. Oleh sebab itu, hilang rasa kebersamaan untuk berjuang membebaskan Pattani bersama-sama para mujahidin di sana. Perlu dijelaskan juga bahawa Melayu di sana sangat sinonim dan amat berkaitan dengan Islam itu sendiri. Kulitnya, Siam kelihatan cuba meruntuhkan satu bahasa. Satu budaya, namun inti hakikatnya, mereka cuba menanggalkan Islam dari jiwa seluruh Muslim di sana,” jelas Farhana.
Berdiri bulu roma setiap mereka yang mendengar bicara Farhana dengan mata hati. Fauzi kelihatan mengangguk-anggukkan kepala. Sukar ditelah anggukan itu. Anggukan setuju? Atau anggukan sebaliknya?
“Wah! Tak tahu pula aku yang kau ini banyak juga pengetahuan sejarah. Seingat aku waktu kelas sejarah dulu kaulah juara tidur!” tegur Basyirah dalam nada berbisik sambil mengenyitkan mata.
“Oh! Tengok oranglah!”
“Benar sekali apa yang cakapkan oleh saudari err.. Farhana tadi. diharapkan kita sama-sama dapat mengambil manfaat daripada slot pagi ini. Kita berhenti berehat dulu. Sebentar lagi kita sambung semula dengan pembentangan modul oleh saudari Khalillah,” putus Saiful Afandi.
“Misi ziarah kita kali ini ada misi ziarah serampang dua mata. Untuk bengkel bahasa, Fauzi, Erwan, Suraya dan Adibah yang akan bertugas sebagai tenaga penggerak. Manakala Basyirah dan Farhana akan mengambil alih misi bantuan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan di sebuah klinik di sana,” ujah Khalillah tanpa membuang masa lagi.
“Errr…saya tidak cakap pun saya hendak pergi,” celah Basyirah. Semua yang hadir memandang ke arahnya. Segera Farhana menekup mulut Basyirah dengan tangannya sebaik sahaja melihat Basyirah seakan-akan mahu menyambung bicara.
“Maafkan rakan saya ini. Lillah boleh teruskan dengan penjelasan dari kamu?” ujar Farhana.
“Nanti balik kita bincang semula,” bisik Farhana dalam usaha menghalau keresahan yang bergulat di dalam hati Basyirah.
Gadis berkaca mata itu membuat mulut dan menarik muka tidak puas hati.
Serentak dengan itu, Erwan bingkas bangun. telefon bimbitnya bergegar-gegar di dalam kocek seluar mohon segera dijawab.

Sebelum Berkalang Tanah : BAB 1, part I

Bsimillahirrahmanirrahim...

“Basyirah, aku nak minta tolong kau sikit, boleh?” soal Farhana, gadis berbadan sedikit gempal dengan dagu berlapis itu sebaik sahaja melabuhkan punggung di hadapan Basyirah. kot putihnya diletakkan di sisi. Entah bila Farhana masuk ke dalam bilik rehat itu pun Bayirah tidak sedar. Biasanya, pintu bilik berkenaan akan berkeriut apabila dibuka.
Basyirah yang saat itu sedang menatap akhbar harian segera mengangkat wajah. Surat khabar ditutup dan diletakkan di atas meja kecil di hadapannya. Seketika bilik rehat untuk doktor wanita itu hening. Hanya kedengaran desiran dari penghawa dingin yang sedia terpasang.
“Engkau dari mana ini? Mahu minta tolong apa, Ana?” Basyirah menyeluruhi wajah Farhana dengan mata sengaja dibulatkan.
“Ish, jangan pandang macam nak makan aku! Memanglah daging badan aku ini banyak dan manis! Aku dari kantin tadi, ” seloroh Farhana.
Basyirah ketawa kecil.
“Cakap sajalah. Kau mahu minta tolong apa?” soal Basyirah kembali selepas tawanya reda. Dia menginjak sedikit tubuhnya ke hadapan sehingga bertemu kepala lututnya dan bucu meja kecil di hadapannya. kedua d-au belah tangannya ditangkup dengan jari jemari menyelat di antara satu sama lain. Matanya masih tidak lepas-lepas memandang wajah gadis berkulit kuning langsat di hadapannya.
“Hujung minggu ini ada mesyuarat di Pulau Pinang. Jadi aku mahu kau temankan aku ke sana, boleh?” tanya Farhana sambil mencapai kahbar yang dibaca oleh Bayirah tadi. Dia menyandarkan tubuhnya di sofa dan akhbar itu diletakkan di atas pahanya.
“Mesyuarat apa?” Basyirah menjungkit kening.
“Persatuan kita telah dijemput oleh satu pertubuhan bukan kerajaan yang menguruskan hal kebajikan masyarakat Selatan Thailand yakni Aman Patani atau singkatannya AMANI. Pihak mereka mahu mengadakan perjumpaan dengan wakil dari persatuan kita berhubung dengan program yang bakal mereka laksanakan di Selatan Thailand kelak,” jelas Farhana.
“Selatan Thailand?” soal Basyirah dengan mata terbuntang.
“Kenapa dengan Selatan Thailand?” soal Farhana kembali.
“Program apa yang pihak AMANI itu hendak buat? Tak bahayakah? Entah-entah mereka hendak ajak kita menyertai program mereka di sana! ” Basyirah membuat andai sendiri.
“Aku sendiri tidak begitu jelas lagi dengan program AMANI ini. Boleh jadi mereka hendak ajak kita ke sana. Sebab itu kita kena pergi mesyuarat itu. barulah segala-galanya terjawab. Ikhlasnya, aku sendiri teringin sangat hendak ke sana,” balas Farhana.
Cekatan tangannya menyelak-nyelak akhbar sedang matanya masih terpaku pada wajah Basyirah yang mula membuat mulut.
“Sudahlah kita tak pernah dengar pun pertubuhan bernama AMANI itu sebelum ini. Entah-entah itu cuma perangkap yang dipasang untuk menarik wanita-wanita cantik macam aku ini. Thailand itu terkenal dengan macam-macam jenis penyeludupan kau tahu! Perdangangan orang pun tidak kurang banyakknya. Silap-silap hari bulan, dari elok-elok jadi doktor kena jadi pelacur! Baru padan muka kau!” duga Basyirah sambil memeluk tubuh. Dia menjeling Farhana yang senyum meleret dengan ekor mata.
“Ya Allah! perasaannya kawan aku seorang ini! Kau ini tak baik bersangka buruk begitu! Berdosa kau tahu! Niat AMANI itu baik hendak bantu saudara-saudara kita di sana. Sekurang-kurangnya, dalam jutaan rakyat Malaysia yang berjiran dengan Selatan Thailand itu, ada juga yang prihatin. Buat kerja baik ini memang berisiko sedikit!” sanggah Farhana.
“Kau memang! Berani terlebih! Aku sekadar mengingatkan,” Basyirah membela diri.
Dia melepaskan pandangan keluar cermin tingkap gelap bilik sederhana besar itu. Hujan yang pada mulanya renyai-renyai kini semakin lebat membasahi bumi. Berdetap-detup bunyinya sat menimpa bumbung bangunan hospital. Basyirah kembali mengelus wajah Farhana di hadapannya.
Ramadhan lalu, Farhana terpilih untuk menyertai misi ke Gaza yang dianjurkan oleh pihak Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia atau MAPIM. Konvoi nasional untuk Gaza itu diadakan sempena meletakkan batu asas hospital pediatrik yang berjumlah 40 USD dengan harapan lima puluh peratus kanak-kanak di Palestin mendapat rawatan yang sempurna dan baik pada masa hadapan. Farhana adalah peserta termuda antara empat puluh orang yang terpilih ke sana.
Ketika namanya diumum sebagai salah seorang sukarelawan ke Gaza, Farhana gembira tidak terkata. Terlompat-lompat dia sampai keluar air matanya. Hairan sungguh Basyirah. Bukankah Farhana sedang menempah maut tatkala dia terpilih untuk ke Gaza?
Seingat Basyirah, Farhana menyimpan hasrat untuk ke Gaza sejak di sekolah menengah lagi. Bahkan, Farhana memasang cita-cita untuk menjadi doktor pun semata-mata untuk memberikan bantuan kemanusiaan kepada mereka yang memerlukan.
Sebaik sahaja tamat belajar di Universiti Gadja Mada, Bandung Indonesia, Farhana terus menubuhkan persatuan Doktor Prihatin Umat. Singkatannya D – CARE. Disebabkan Basyirah kawan karibnya, Basyirah dipaksa untuk sama-sama menjadi penggerak di dalam persatuan yang ahlinya tidak sampai sepuluh orang pun. Malah, ketika Farhana mendaftar nama untuk ke Gaza, Basyirah turut diajak. Namun, mentah-mentah Basyirah menolak.
“Apa keputusan kau? boleh tidak temankan aku ke Pulau Pinang?” Farhana mengubah kembali haluan bicara mereka ke pangkal.
“Hari ini hari apa ya?” soal Basyirah sambil mengetuk bibir dengan jari telunjuk.
“Sibuknya kau sampai hari pun sudah tak ingat! Hari ini hari Selasa!” sindir Farhana.
“Oh. Aku cuba mohon cuti dululah. Kalau lulus boleh aku temankan,” putus Basyirah.
“Alah! Aku kena pergi seorang dirilah kalau cuti kau tak diluluskan!” rungut Farhana.
“Eh, ke Gaza kau berani pergi! Inikan pula setakat Pulau Pinang saja! Tak mungkin kau takut!” sindir Basyirah lagi.
“Kau ini tak habis-habis perli aku. Entah apalah yang kau sakit hati sangat dengan aku pun aku tak tahu! Sebab aku dapat pergi Gaza dan kau tak dapat turut sertakah?”
“Tolonglah. Tak kuasa kau hendak menempah maut dan menyusahkan diri hendak ke sana!” tukas Basyirah. dia bingkas bangun.
“Tak baik kau cakap begitu! Sudah ini kau hendak ke mana pula?” Farhana jadi tidak berselera hendak membaca akhbar lagi apabila melihat Basyirah mahu mengangkat kaki dan berlalu. Akhbar itu diletakkan semula di atas meja.
“Perut aku ini sudah berbunyi minta di isi. Kebetulan pagi tadi aku sempat sarapan dengan dengan susu saja. Jadi aku hendak ke kantin dan makan!” jawab Basyirah. Dia mencapai tas tangan warna merah hati miliknya di atas sofa dan menonong menuju ke lokernya.
“Tunggulah, Basyirah. aku pun hendak ikut juga!” Farhana mengejar Basyirah.
‘Eh, tadi kau cakap kau dari kantin! Ini nak pergi sekali lagi ke sana! Habis itu, macam mana hendak kurus?” sindir Basyirah.
“Bukan aku nak makan pun! Aku Cuma nak temankan kau saja,” balas Farhana.
“Yalah itu!” sambut Basyirah acuh tidak acuh. Dia menutup lampu kalimantang sahaja mereka melangkah keluar dari bilik berkenaan.

Sunday, September 5, 2010

Sebelum Berkalang Tanah : Prolog

Bismillahirrahamnirrahim...

Insya-Allah, mulai hari ini, novel SEBELUM BERKALANG TANAH ini akan saya sirikan di sini. Setiap minggu. Mungkin juga setiap hari. Setakat ini saya sudah menyiapkan hampir 20 bab dan manuskrip ini memang akan dihantar kepada syarikat penerbitan. lebih kurang sepuluh bab lagi untuk saya habiskan manuskrip ini. Cuma saya bimbang sekatan dan pelbagailah mehnah serta tribulasi yang bakal saya terima sebelum novel ini dapat diterbitkan. Jadi saya terbitkan di sini dahulu untuk bacaan umum. Walau apapun komen dari kalian masih saya alu-alukan. Semoga bermanfaat...


Hujan renyai-renyai jatuh menimpa bumbung zink yang sudah separuh berkarat. Berdeting-deting bunyinya tatkala rintik halus itu bertukar menjadi butir-butir kasar. Kanak-kanak yang saling memekik saat bermain galah panjang bersimpang-siur lari berlindung di dalam rumah masing-masing. Cuma dua tiga kanak-kanak lelaki yang degil membatu membiarkan diri dibasahi air hujan.



Riuh rendah sebentar tadi seakan-akan ditiup pergi oleh angin yang berpuput garang. Langit tadi terang-benderang perlahan-lahan dihalau pergi oleh awan hitam yang gersang senyuman. Seperti malaikat penjaga neraka.


Di dalam sebuah rumah usang seorang wanita tertunduk-tunduk membaca al-Quran. Khusyuk dia menghayati kata-kata Allah dalam surah Al-Qashash itu. Entah mengapa, matanya tertancap lama pada ayat 3 sehingga 14 dalam surah itu. Lama. Bahkan diulang baca beberapa kali.




"Sesungguhnya Fir'aun telah berbuat sewenang-wenang di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah belah dengan menindas segolongan dari mereka, menyembelih anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya Fir'aun termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan. Dan Kami hendak memberi kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi {Mesir} itu dan hendak menjadi mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi {bumi}. Dan Kami akan teguhkan kedudukan mereka di muka bumi dan akan Kami perlihatkan kepada Fir'aun dan Haman berserta tenteranya apa yang selalu mereka khuatirkan daripada mereka itu. Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa,"susukanlah dia, dan apabila kamu khuatir terhadapnya, maka jatuhkan dia ke dalam sungai {Nil}”.



Ketika bunyi dentuman guruh pertama menyapa langit, dia mengangkat wajah seketika, mengintai wajah langit sebelum kembali menatap bait-bait suci al-Quran di tangannya.


" Dan janganlah kamu khuatir dan janganlah pula bersedih hati, kerana sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan menjadikannya {salah seorang} dari para rasul. Maka pungutlah ia oleh keluarga Fir'aun yang akibatnya ia menjadi musuh dan kesedihan bagi mereka. Sesungguhnya Fir'aun dan Haman berserta tenteranya adalah orang-orang yang bersalah. Dan berkatalah isteri Fir'aun: "Ia {Musa} biji mata bagiku dan bagimu. Janganlah kamu membunuhnya, mudah-mudahan ia bermanfaat kepada kita atau kita ambil ia menjadi anak," sedang mereka tiada menyedari. Dan menjadi kekosongan hati ibu Musa, seandainya Kami tidak teguhkan hatinya, supaya ia termasuk orang-orang yang percaya {kepada janji Allah}. Dan berkatalah ibu Musa kepada saudara Musa yang perempuan: "Ikutilah dia". Maka kelihatan olehnya Musa dari jauh, sedang mereka tidak mengetahuinya. Dan Kami cegah Musa dari menyusu kepada perempuan-perempuan yang nahu menyusukannya sebelum itu, maka berkatalah saudara Musa: "Mahukah kamu aku tunjukkan kepada kamu ahlul-bait yang akan memeliharakannya untukmu dan mereka dapat berlaku baik kepadanya?" Maka Kami kembalikan Musa kepada ibunya supaya senang hatinya dan tidak berduka cita dan supaya ia mengetahui bahawa janji Allah itu adalah benar, tetapi manusia kebanyakan tidak mengetahuinya."



Dentuman kedua bergema di kanvas langit. Serentak dengan itu kedengaran tangisan bayi lelakinya yang baru mencecah usia dua bulan. Buaian yang tadi kaku kini bergerak-gerak seiring dengan tujahan kaki bayi itu. Dia sempat melekapkan kitab suci itu ke dada dan menciumnya sebelum bingkas bangun. Al-quran yang tadi khusyuk diulit diletakkan di atas almari yang sudah lekang pintunya.


Dia berjalan lekas menuju ke buaian. Bayi lelaki di dalam buaian menggeliat kecil. Sudah tentu bunyi guruh tadi mengejutkannya dari tidur. Wanita awal dua puluhan itu segera mengangkat anak sulungnya dirapatkan ke dada. Kepala bayi terletak elok dalam pangkuan lengan kirinya. Tangisan si anak kecil itu juga kian reda. Selesa dalam panas pelukan emaknya barangkali.



“Bawa anak kamu pergi dari sini! Aku khuatir mereka akan membunuhnya andai mereka berjaya menemuinya!” Amaran yang pernah diberikan oleh jirannya tiba-tiba mengetuk benaknya tatkala wajah si kecil itu dielus penuh kasih sayang.



“Ke mana harus mek bawa kamu, nak,” rintih wanita itu.



"Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa,"susukanlah dia, dan apabila kamu khuatir terhadapnya, maka jatuhkan dia ke dalam sungai (Nil)."



Entah mengapa ayat ke tujuh dari surah Al-Qashah itu terus bergentayangan di indera fikirnya. Air matanya berlinangan perlahan-lahan.


“Haruskah mek lakukan sepertimana yang dilakukan oleh ibu Nabi Musa?” Wanita itu terus bermonolog sendirian. Dia menyentuh isi lebih di telinga kanan anaknya. Dalam lena, bayi kecil itu mengorak senyum.



“Mungkin itu sahaja pilihan yang mek ada sekarang, nak!” lirih dia lagi. Dia mengusap kepala bayi yang sudah siap dicukur rambutnya itu sambil menahan perasaan hiba. Terhinggut-hinggut bahunya menahan tangisan.



Guruh dan kilat kian rancak berpencak di dada langit. sesekali bergegar pondok usang Tidak semena-mena kayu yang menjadi sangga bumbung jatuh menimpa mereka. Dia tidak sempat berbuat apa-apa.
***************************************************
Tatkala waktu dhuha baru sahaja menjengah bumi, wanita berkerudung coklat tua itu sudah tiba di tebing sungai. Dia mengendong sebuah bakul rotan. Di dalamnya bayi lelaki comel terkebil-kebil. Sesekali tangan lincah digawang-gawangkan. Kaki cergas menujah kain tebal yang dibuat alas.



Seekor burung merpati melayah rendah sebelum bertenggek di sebatang dahan pokok rimbun. Tersesat barangkali. Kepalanya kerap digerakkan ke kiri dan ke kanan. Bagai tercari-cari sesuatu. Dari celah-celah rimbunan dedaun pokok yang disinggahnya, burung berbulu kelabu itu mengintai wanita berkenaan dan anaknya.



“Maafkan mek,sayang. Bukan niat mek tidak mahu memelihara kamu sehingga besar. Cuma keadaan tidak mengizinkan,” rintih wanita itu sambil menyeka peluh di dahi. Dia memalingkan wajah ke kiri dan ke kanan. Kakinya lincah berjalan. Pedih duri senduduk yang merelas kaki langsung tidak dirasakan. Matanya meliar menerobosi semak sederhana tebal di pinggir sungai itu sebelum dia berhenti di tebing menengadahkan kepala ke langit.




Tidak dia sedar, tingkahnya khusyuk diperhatikan si burung merpati yang sesekali mengibas sayap.
“Sebagaimana Engkau memelihara Nabi Musa, aku pohon Ya Allah, peliharalah anakku ini. kepadaMu aku serahkan segala urusan.” Wanita bertahi lalat manis di bawah bibir sebelah kanan itu pasrah.



Dia merenung wajah bening anak lelakinya. Anak itu tertawa menyambut pandangan si ibu. Luka di pipi kirinya sudah tidak berdarah lagi. Cuma bakal meninggalkan parut kekal. Sangga kayu yang jatuh dari atas singgah di kepalanya sebelum tertepis sedikit pipi kiri si genit. Raungan si kecil itu saat itu sama kuat dengan dentuman guruh di luar. Mujur tiada kecederaan lebih serius.


Wanita berkulit sawo matang itu duduk melutut menghadap tebing sungai. Dia merenung kosong aliran air yang beriak tenang. Desiran air tatkala memukul batu hampar yang timbul di permukaan air menyambar cuping telinga.



“Apakah benar keputusan yang aku ambil ini?” tanya wanita itu ragu-ragu. Sedang bakul di tangan perlahan-lahan diturunkan ke dalam sungai. Sehingga akhirnya punggung bakul mencecah air. Bakul itu lambat-lambat mengikut arus sungai yang mengalir. Semakin lama semakin laju.



“Maafkan mek, nak!”


Serentak dengan itu, dia bingkas bangun, berlari-lari sambil menekup mulut dengan air mata merambu-rambu. Burung merpati itu terpaku menjadi saksi sebelum bersiap-siap mengepak sayap dan terbang. Terbang tinggi di awan.