Monday, September 13, 2010

Sebelum Berkalang Tanah : BAB 1, part I

Bsimillahirrahmanirrahim...

“Basyirah, aku nak minta tolong kau sikit, boleh?” soal Farhana, gadis berbadan sedikit gempal dengan dagu berlapis itu sebaik sahaja melabuhkan punggung di hadapan Basyirah. kot putihnya diletakkan di sisi. Entah bila Farhana masuk ke dalam bilik rehat itu pun Bayirah tidak sedar. Biasanya, pintu bilik berkenaan akan berkeriut apabila dibuka.
Basyirah yang saat itu sedang menatap akhbar harian segera mengangkat wajah. Surat khabar ditutup dan diletakkan di atas meja kecil di hadapannya. Seketika bilik rehat untuk doktor wanita itu hening. Hanya kedengaran desiran dari penghawa dingin yang sedia terpasang.
“Engkau dari mana ini? Mahu minta tolong apa, Ana?” Basyirah menyeluruhi wajah Farhana dengan mata sengaja dibulatkan.
“Ish, jangan pandang macam nak makan aku! Memanglah daging badan aku ini banyak dan manis! Aku dari kantin tadi, ” seloroh Farhana.
Basyirah ketawa kecil.
“Cakap sajalah. Kau mahu minta tolong apa?” soal Basyirah kembali selepas tawanya reda. Dia menginjak sedikit tubuhnya ke hadapan sehingga bertemu kepala lututnya dan bucu meja kecil di hadapannya. kedua d-au belah tangannya ditangkup dengan jari jemari menyelat di antara satu sama lain. Matanya masih tidak lepas-lepas memandang wajah gadis berkulit kuning langsat di hadapannya.
“Hujung minggu ini ada mesyuarat di Pulau Pinang. Jadi aku mahu kau temankan aku ke sana, boleh?” tanya Farhana sambil mencapai kahbar yang dibaca oleh Bayirah tadi. Dia menyandarkan tubuhnya di sofa dan akhbar itu diletakkan di atas pahanya.
“Mesyuarat apa?” Basyirah menjungkit kening.
“Persatuan kita telah dijemput oleh satu pertubuhan bukan kerajaan yang menguruskan hal kebajikan masyarakat Selatan Thailand yakni Aman Patani atau singkatannya AMANI. Pihak mereka mahu mengadakan perjumpaan dengan wakil dari persatuan kita berhubung dengan program yang bakal mereka laksanakan di Selatan Thailand kelak,” jelas Farhana.
“Selatan Thailand?” soal Basyirah dengan mata terbuntang.
“Kenapa dengan Selatan Thailand?” soal Farhana kembali.
“Program apa yang pihak AMANI itu hendak buat? Tak bahayakah? Entah-entah mereka hendak ajak kita menyertai program mereka di sana! ” Basyirah membuat andai sendiri.
“Aku sendiri tidak begitu jelas lagi dengan program AMANI ini. Boleh jadi mereka hendak ajak kita ke sana. Sebab itu kita kena pergi mesyuarat itu. barulah segala-galanya terjawab. Ikhlasnya, aku sendiri teringin sangat hendak ke sana,” balas Farhana.
Cekatan tangannya menyelak-nyelak akhbar sedang matanya masih terpaku pada wajah Basyirah yang mula membuat mulut.
“Sudahlah kita tak pernah dengar pun pertubuhan bernama AMANI itu sebelum ini. Entah-entah itu cuma perangkap yang dipasang untuk menarik wanita-wanita cantik macam aku ini. Thailand itu terkenal dengan macam-macam jenis penyeludupan kau tahu! Perdangangan orang pun tidak kurang banyakknya. Silap-silap hari bulan, dari elok-elok jadi doktor kena jadi pelacur! Baru padan muka kau!” duga Basyirah sambil memeluk tubuh. Dia menjeling Farhana yang senyum meleret dengan ekor mata.
“Ya Allah! perasaannya kawan aku seorang ini! Kau ini tak baik bersangka buruk begitu! Berdosa kau tahu! Niat AMANI itu baik hendak bantu saudara-saudara kita di sana. Sekurang-kurangnya, dalam jutaan rakyat Malaysia yang berjiran dengan Selatan Thailand itu, ada juga yang prihatin. Buat kerja baik ini memang berisiko sedikit!” sanggah Farhana.
“Kau memang! Berani terlebih! Aku sekadar mengingatkan,” Basyirah membela diri.
Dia melepaskan pandangan keluar cermin tingkap gelap bilik sederhana besar itu. Hujan yang pada mulanya renyai-renyai kini semakin lebat membasahi bumi. Berdetap-detup bunyinya sat menimpa bumbung bangunan hospital. Basyirah kembali mengelus wajah Farhana di hadapannya.
Ramadhan lalu, Farhana terpilih untuk menyertai misi ke Gaza yang dianjurkan oleh pihak Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia atau MAPIM. Konvoi nasional untuk Gaza itu diadakan sempena meletakkan batu asas hospital pediatrik yang berjumlah 40 USD dengan harapan lima puluh peratus kanak-kanak di Palestin mendapat rawatan yang sempurna dan baik pada masa hadapan. Farhana adalah peserta termuda antara empat puluh orang yang terpilih ke sana.
Ketika namanya diumum sebagai salah seorang sukarelawan ke Gaza, Farhana gembira tidak terkata. Terlompat-lompat dia sampai keluar air matanya. Hairan sungguh Basyirah. Bukankah Farhana sedang menempah maut tatkala dia terpilih untuk ke Gaza?
Seingat Basyirah, Farhana menyimpan hasrat untuk ke Gaza sejak di sekolah menengah lagi. Bahkan, Farhana memasang cita-cita untuk menjadi doktor pun semata-mata untuk memberikan bantuan kemanusiaan kepada mereka yang memerlukan.
Sebaik sahaja tamat belajar di Universiti Gadja Mada, Bandung Indonesia, Farhana terus menubuhkan persatuan Doktor Prihatin Umat. Singkatannya D – CARE. Disebabkan Basyirah kawan karibnya, Basyirah dipaksa untuk sama-sama menjadi penggerak di dalam persatuan yang ahlinya tidak sampai sepuluh orang pun. Malah, ketika Farhana mendaftar nama untuk ke Gaza, Basyirah turut diajak. Namun, mentah-mentah Basyirah menolak.
“Apa keputusan kau? boleh tidak temankan aku ke Pulau Pinang?” Farhana mengubah kembali haluan bicara mereka ke pangkal.
“Hari ini hari apa ya?” soal Basyirah sambil mengetuk bibir dengan jari telunjuk.
“Sibuknya kau sampai hari pun sudah tak ingat! Hari ini hari Selasa!” sindir Farhana.
“Oh. Aku cuba mohon cuti dululah. Kalau lulus boleh aku temankan,” putus Basyirah.
“Alah! Aku kena pergi seorang dirilah kalau cuti kau tak diluluskan!” rungut Farhana.
“Eh, ke Gaza kau berani pergi! Inikan pula setakat Pulau Pinang saja! Tak mungkin kau takut!” sindir Basyirah lagi.
“Kau ini tak habis-habis perli aku. Entah apalah yang kau sakit hati sangat dengan aku pun aku tak tahu! Sebab aku dapat pergi Gaza dan kau tak dapat turut sertakah?”
“Tolonglah. Tak kuasa kau hendak menempah maut dan menyusahkan diri hendak ke sana!” tukas Basyirah. dia bingkas bangun.
“Tak baik kau cakap begitu! Sudah ini kau hendak ke mana pula?” Farhana jadi tidak berselera hendak membaca akhbar lagi apabila melihat Basyirah mahu mengangkat kaki dan berlalu. Akhbar itu diletakkan semula di atas meja.
“Perut aku ini sudah berbunyi minta di isi. Kebetulan pagi tadi aku sempat sarapan dengan dengan susu saja. Jadi aku hendak ke kantin dan makan!” jawab Basyirah. Dia mencapai tas tangan warna merah hati miliknya di atas sofa dan menonong menuju ke lokernya.
“Tunggulah, Basyirah. aku pun hendak ikut juga!” Farhana mengejar Basyirah.
‘Eh, tadi kau cakap kau dari kantin! Ini nak pergi sekali lagi ke sana! Habis itu, macam mana hendak kurus?” sindir Basyirah.
“Bukan aku nak makan pun! Aku Cuma nak temankan kau saja,” balas Farhana.
“Yalah itu!” sambut Basyirah acuh tidak acuh. Dia menutup lampu kalimantang sahaja mereka melangkah keluar dari bilik berkenaan.

No comments:

Post a Comment