Monday, September 13, 2010

Sebelum Berkalang Tanah : BAB 1, part II

Bismillahirahmanirrahim...

Pejabat itu asalnya sebuah surau. Surau yang tidak pernah dihidupkan dengan solat berjemaah. Tidak pernah bergema dari corong pembesar suaranya laungan azan oleh bilal memanggil kaum muslimin sujud pada Allah, tuhan sekalian alam. Tidak pernah diimarahkan dengan bacaan suci al-Quran. Walhal penduduk di sekelilingnya tidak sedikit yang beragama Islam.
“Alhamdulillah, hari ini kita semua dapat berkumpul di pejabat yang kita gelar sebagai Serambi Dakwah. Selamat datang saya ucapkan kepada semua. Saya perkenalkan diri saya terlwbih dahulu. Saya, Saiful Afandi, koordinator AMANI, ” pemuda tinggi renjong yang memperkenalkan namanya sebagai Saiful Afandi itu memberi ucapan alu-aluan. Dia mengelus setiap wajah yang hadir dengan pandangan mata bersinar-sinar. Mereka duduk bersila dalam satu bulatan besar di atas karpet hijau.
“Dahulu, surau ini menjadi tempat seorang pak cik beragama Buddha meletakkan barang-barang sembahyangnya. Amat menyedihkan. Dia kemudiannya memindahkan barang-barang tersebut setelah kita maklumkan kepada dia yang kita mahu menggunakan tempat ini sebagai pejabat.” Saiful Afandi memulakan bicara dengan sedikit sejarah pejabat berkenaan.
Farhana menyinggul Basyirah dengan siku sambil senyum meleret.
“Boleh tahan juga coordinator AMANI ini,” bisik Farhana. Basyirah dan Farhana duduk paling hampir dengan Saiful Afandi.
“Ish, kau ini! Budak lagi ini! Kau mahukah?” balas Basyirah mematikan usikan Farhana.
Mata Basyirah meliar di segenap ruang surau yang sudah bertukar wajah menjadi pejabat itu. Serba ringkas. Tidak seperti perjabat konvensional lain yang ada bilik, penghawa dingin dan kelengkapan mewah lain. Pejabat itu hanya memuatkan beberapa meja dan kerusi. Tempat untuk staff perempuan terletak di sayap kanan surau manakala tempat untuk staff lelaki di sayap kiri. Satu set sofa yang sudah luntur warna merah hatinya dengan sebuah meja kecil diletakkan berhampiran pintu menuju bilik air. Buku-buku tersusun tidak begitu teratur di rak yang ditempatkan di ruang solat imam.
“Baiklah. Saya tidak mahu berceloteh panjang. Kata orang tak kenal maka tak cinta. Moleklah kiranya kita berkenal-kenalan antara satu sama lain terlebih dahulu sebelum kita bergerakkerja sebagai satu pasukan kelak kerana saya percaya, perkenalan kita hari ini bukan tidak akan berkahir selepas sebulan kita di Selatan Thai bahkan akan berkekalan untuk beberapa jangka waktu lagi, Insya-Allah,” ujar Saiful Afandi.
“Saya perkenalkan diri saya terlebih dahulu. Nama saya Saiful Afandi bin Sulaiman. Berasal dari Rantau Panjang, Kelantan. Bertindak sebagai coordinator AMANI. Kini bertugas sebagai guru Matematik di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Onn.” Saiful Afandi mengunjukkan ibu jari kepada pemuda di sebelah kanannya.
“Saya Mohd Fauzi bin Fairuz. Berasal dari Grik, Perak. Kini berkerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat swasta.” Pemuda berkulit hitam manis itu menundukkan sedikit kepala sambil menyungging senyum.
“Saya Erwan bin Khairuddin. Berasal daripada Sungai Bakau, Pulau Pinang. Kini masih belajar di UITM Arau.”
“Saya Nur Basyirah Mohd Ridwan. Berasal dari Tanah Merah, Kelantan. Kini bertugas sebagai seorang doktor di Hospital Pantai, Kuala Lumpur.”
“Saya Nor Farhana Farhan. Berasal dari Tanah Merah, Kelantan. Kini bertugas sebagai seorang doktor di Hospital Pantai, Kuala Lumpur.”
“Saya Khalillah Rasyidah. Berasal dari Rawang, Selangor. Bertindak sebagai coordinator AMANI bersama-sama dengan Saiful. Kini masih menuntut di Universiti Sains Malaysia.”
“Suraya binti Suhaimi. Berasal dari Air Keruh, Melaka. Kini masih belum mempunyai pekerjaan tetap.”
“Alhamdulillah, semuanya sudah memperkenalkan diri. Sebenarnya, kita dapat senarai nama lebih daripada 10 orang pada mulanya. Namun, seorang demi seorang menarik diri sehinggalah tinggal kamu semua yang datang hari ini. Firman Allah dalam Surah At-Taubah ayat 42 yang bermaksud kalau apa yang engkau serukan kepada mereka wahai Muhammad sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana yakni tidak begitu jauh, nescaya mereka akan mengikutmu, tetapi tempat yang hendak dituju itu bagi mereka jauh. Makna katanya di sini, sepanjang perjalanan kita, tidak akan dibentangkan dengan karpet merah. Paling penting, di sepanjang jalan dakwah ini, tapisan Allah itu sentiasa berjalan. Maka dengan itu, akan yang gugur di tengah jalan dan akan ada yang terus gagah memacu perjuangan. Kalian ini, boleh saya klasifikasikan sebagai golongan yang telah lepas tapisan Allah yang pertama. Namun, jangan gembira dulu. Seperti yang saya katakana tadi, tapisan Allah itu sentiasa berjalan selagi mana kita tidak sampai kepada matlamat agung perjuangan,” jelas Saiful Afandi panjang lebar.
Basyirah mengangguk-anggukkan kepala. Farhana menekur lantai. Peserta-peserta lain memandang wajah Saiful Afandi tidak lepas-lepas. Menanti butir bicara anak muda itu.
“Baiklah, seterusnya, saya menjemput saudari Lillah membentangkan aturcara program sepanjang sebulan kalian di sana kelak,” ujar Saiful Afandi.
“Err… Saya rasa sebelum kita melangkah lebih jauh, baik juga kalau Encik Saiful dapat ceritakan serba ringkas mengenai AMANI ini,” pinta Fauzi. Mereka yang lain mengangguk-anggukkan kepala tanda setuju. Terutamanya Basyirah dan Farhana.
“ Oh, terlupa pula saya. AMANI sebenarnya adalah sebuah badan bertindak terhadap isu konflik Selatan Thailand yang digerakkan di bawah naungan Persatuan Ulama Malaysia Pulau Pinang dalam usaha menyalurkan bantuan serta sokongan padu kepada saudara-saudara kita di Selatan Thailand. AMANI mempunyai tiga objektif. Pertama, membangunkan kesedaran dan sokongan masyarakat terhadap konflik Selatan Thailand. Kedua, menyediakan program latihan dan pembangunan dokongan kerja kepada masyarakat Pattani. Ketiga, menyalurkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa-mangsa konflik. Krew AMANI ini tidak ramai. Setakat ini AMANI mempunyai sukarelawan tetap tidak melebihi 10 orang. Kita juga berkerjasama dengan beberapa NGO di Selatan Thailand. Misalnya untuk program kali ini, kita berhubung dengan satu badan yang dikenali sebagai HAP atau Hak Asasi Perikemanusiaan.” Saiful Afandi berhenti sejeda, meneguk air mineral yang dibekalkan seorang satu. Bunyi desiran kipas mengisi suasana hening ruang pejabat itu.
“Berbeza dengan nasib negeri lainnya seperti Bosnia, Kashmir, Chechnya atau Palestin yang tidak pernah sepi dari pemberitaan, Pattani ditakdirkan telah menjadi sebuah negeri yang dilupakan orang, sepi dan tidak naik panggung. Kezaliman dan penindasan yang dialami oleh rakyat Pattani seakan hilang daripada perhatian masyarakat dunia khususnya ummat Islam lainnya. Penderitaan dan kesengsaraan yang dialami oleh rakyat Pattani tidak pernah berhenti hingga ke saat ini. Kesan pergolakan ini telah menyebabkan tekanan perasaan dan gangguan psikologi terhadap penduduk awam Pattani. Perasaan tidak selamat dan kurang yakin untuk terus maju telah menguasai pemikiran mereka. Semangat untuk belajar mula luntur dalam diri mereka kesan pergolakan ini. Oleh sebab itu, kita sedaya upaya menganjurkan program ini dengan harapan sedikit sebanyak kita dapat membantu saudara –saudara kita di sana,” sambung Saiful Afandi. Dia kemudian mengalihkan pandangan ke arah Khalillah dan memberi isyarat mata agar gadis berkulit cerah itu menyambung bicara.
“Rasanya, sahabat-sahabat sekalian sudah jelas letak duduknya AMANI. Sekarang kita teliti dengan lebih mendalam lagi objektif-objektif program kita pada kali ini. Misi ziarah kami ke pondok-pondok terbesar di Selatan Thailand telah mengetemukan kami dengan beberapa mudir dan babaya pondok. Hasil perbincangan kami dengan mudir dan babaya pondok tersebut, mereka banyak menyatakan kebimbangan mereka terhadap penggunaan Bahasa Melayu yang semakin luntur dan penguasaan Bahasa Inggeris yang sangat lemah dalam kalangan pelajar pondok malah termasuk guru-guru sendiri akibat pengaruh Bahasa Thai yang tinggi dalam masyarakat Melayu di Pattani. Kebudayaan Melayu juga kian luntur daripada masyarakat Pattani. Oleh sebab itu, hasil perbincangan kami bersama pihak pondok tersebut untuk mengadakan satu bengkel untuk mengembalikan minat serta kesungguhan pelajar pondok ini untuk menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi mereka dan meningkatkan lagi penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi antarabangsa.” Khalillah berdehem beberapa kali sebelum menyambung.
“Objektif pertama program ini adalah membina kembali semangat menuntut ilmu serta meneruskan kehidupan dengan lebih cemerlang. Kedua, mengembalikan motivasi dan keyakinan dalam diri pelajar untuk memperbaiki taraf hidup serta kemajuan dalam masyarakat Muslim Pattani. Ketiga, membantu usaha memperkukuh serta memperjuangkan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama di Pattani serta penguasaan terhadap Bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi antarabangsa,” jelas Khalillah.
“Maafkan saya, boleh saya mencelah sedikit?” pinta Fauzi.
“Dipersilakan. Usah malu-malu,” balas Saiful Afandi.

“Begini, sekadar yang saya teliti daripada penjelasan saudari Khalillah tadi, kelihatan perjuangan di Selatan Thailand ini berbaur nasionalisme. Misalnya, usaha kita membantu mereka memulihkan bahasa dan budaya yang kian tenggelam dek pengaruh Siam. Seolah-olahnya, kita cuba menyelamatkan kemelayuan masyarakat di sana daripada terus hilang di telan zaman. Sepertinya kita cuba mempertahankan apa yang pernah dikatakan oleh Hang Tuah, takkan Melayu hilang dari dunia, begitu. Pada pendapat saya, perjuangan seperti ini tidak akan kekal lama bahkan tidak diperbolehkan dalam agama,” ulas Fauzi. Dia mengusap-usap janggut pandaknya.
“Boleh saya respon sedikit ulasan saudara Fauzi tadi?’ soal Farhana.
“Dengan senang hatinya dipersilakan,” izin Khalillah.
“Terima kasih. Sedikit penjelasan terhadap ulasan saudra Fauzi tadi. sebenarnya, rata-rata umat Islam hari ini melihat perjuangan di Selatan Thai lebih kepada menyelamatkan bangsa Melayu Pattani atas tiket nasionalisme. Oleh sebab itu, hilang rasa kebersamaan untuk berjuang membebaskan Pattani bersama-sama para mujahidin di sana. Perlu dijelaskan juga bahawa Melayu di sana sangat sinonim dan amat berkaitan dengan Islam itu sendiri. Kulitnya, Siam kelihatan cuba meruntuhkan satu bahasa. Satu budaya, namun inti hakikatnya, mereka cuba menanggalkan Islam dari jiwa seluruh Muslim di sana,” jelas Farhana.
Berdiri bulu roma setiap mereka yang mendengar bicara Farhana dengan mata hati. Fauzi kelihatan mengangguk-anggukkan kepala. Sukar ditelah anggukan itu. Anggukan setuju? Atau anggukan sebaliknya?
“Wah! Tak tahu pula aku yang kau ini banyak juga pengetahuan sejarah. Seingat aku waktu kelas sejarah dulu kaulah juara tidur!” tegur Basyirah dalam nada berbisik sambil mengenyitkan mata.
“Oh! Tengok oranglah!”
“Benar sekali apa yang cakapkan oleh saudari err.. Farhana tadi. diharapkan kita sama-sama dapat mengambil manfaat daripada slot pagi ini. Kita berhenti berehat dulu. Sebentar lagi kita sambung semula dengan pembentangan modul oleh saudari Khalillah,” putus Saiful Afandi.
“Misi ziarah kita kali ini ada misi ziarah serampang dua mata. Untuk bengkel bahasa, Fauzi, Erwan, Suraya dan Adibah yang akan bertugas sebagai tenaga penggerak. Manakala Basyirah dan Farhana akan mengambil alih misi bantuan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan di sebuah klinik di sana,” ujah Khalillah tanpa membuang masa lagi.
“Errr…saya tidak cakap pun saya hendak pergi,” celah Basyirah. Semua yang hadir memandang ke arahnya. Segera Farhana menekup mulut Basyirah dengan tangannya sebaik sahaja melihat Basyirah seakan-akan mahu menyambung bicara.
“Maafkan rakan saya ini. Lillah boleh teruskan dengan penjelasan dari kamu?” ujar Farhana.
“Nanti balik kita bincang semula,” bisik Farhana dalam usaha menghalau keresahan yang bergulat di dalam hati Basyirah.
Gadis berkaca mata itu membuat mulut dan menarik muka tidak puas hati.
Serentak dengan itu, Erwan bingkas bangun. telefon bimbitnya bergegar-gegar di dalam kocek seluar mohon segera dijawab.

1 comment: